JSwitch Slide Menu

 

This free script provided by JavaScript Kit

Jaring Rosak Kena Kimia

 

Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang nelayan dari Balai Nelayan Tanjung Keling mendakwa kerugian kira-kira RM700 selepas enam keping jaring hanyutnya rosak akibat diselaputi sisa buangan dipercayai bahan kimia yang dibuang dari sebuah kilang membuat sarung tangan berhampiran Jeti Tanjung Beruas.
 
 
Nelayan terbabit, Mohammad Zaibon, 59, mendakwa kejadian itu disedarinya pada jam 10 pagi, Khamis lalu, selepas 10 minit membuang jaring menangkap ikan kira-kira 100 meter dari persisiran pantai di belakang kilang terbabit.

Katanya, ketika itu, beliau terlihat gumpalan buih yang banyak disalurkan keluar dari saluran longkang kilang berkenaan berhampiran pantai.

“Sebaik melihat buih itu, saya mendekatinya untuk menyelidik samada ia adalah klorin atau sebaliknya dan terkejut apabila mendapati buih berkenaan bukannya klorin tetapi sejenis sisa bahan kimia.

“Saya segera berpatah balik ke tempat membuang jaring dan bertindak menaikkan semua jaring berkenaan secepat mungkin kerana bimbang ia rosak jika terkena sisa buangan bahan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, semalam.

Mohammad mendakwa sebaik menaikkan semua jaring terbabit, dia mendapati semua jaringnya diselaputi sisa bahan buangan kimia terbabit yang berwarna putih seakan getah.

Beliau berkata, dia cuba sedaya upaya menanggalkan bahan yang melekat di jaringnya itu dengan menggunakan tangan tetapi tidak berjaya disebabkan ia sudah keras seperti getah.

“Justeru, saya terus naik ke darat dan melaporkan perkara berkenaan kepada rakan nelayan lain termasuk memaklumkan hal itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Kling, Hussin Harun yang bertindak menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pegawai JAS yang datang ke tempat kejadian menasihatkan saya supaya membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Sejak kejadian itu, saya tidak dapat ke laut kerana tidak mempunyai jaring simpanan yang lain dan tidak tahu berapa lama lagi terpaksa menunggu,” katanya.

Sementara itu, Hussin berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada wakil rakyat kawasan termasuk berjumpa dengan pihak pengurusan kilang terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelepasan sisa kimia ke laut.