JSwitch Slide Menu

 

This free script provided by JavaScript Kit

Perkampungan nelayan di Langkawi terbakar lagi

Oleh: RIDZUAN RAMLI


TERKEJUT...Seorang nelayan hanya mampu melihat kebakaran besar di perkampungan nelayan Bukit Malut, Langkawi, Kedah, semalam.



 

LANGKAWI 21 Feb. – Lebih 1,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila separuh daripada 600 buah rumah di perkampungan nelayan di Bukit Malut di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika sebahagian besar daripada penduduknya sedang menikmati makan tengah hari dan berehat di rumah selepas keluar menangkap ikan.

Kebakaran itu mengulangi kejadian pada Januari 2005 apabila 140 keluarga kehilangan rumah apabila dijilat api.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Rosdi Ismail berkata, dua jentera dari Balai Bomba Kuah tiba di tempat kejadian pada pukul 2.33 petang dan berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.35 petang.

“Kira-kira 300 buah rumah musnah dan kami berjaya menyelamatkan kira-kira 300 rumah lagi di perkampungan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberitahu, api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.30 petang.

Selain itu katanya, cuaca panas kering dan angin yang agak kencang dipercayai menyebabkan api marak dengan cepat.

Katanya, kedudukan rumah terbabit yang dibina rapat-rapat menggunakan kayu dan papan turut menyebabkan api marak dengan pantas.

Kebakaran dikatakan bermula di rumah yang dibina di atas laut sebelum merebak ke rumah-rumah di kawasan daratan di tepi laut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Mat Hassan Bulat berkata, penduduk terlibat akan ditempatkan buat sementara waktu di Sekolah Kebangsaan Bayas yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran yang terlibat terutama menyediakan makanan kepada mereka.

‘‘Agensi-agensi kerajaan yang berkenaan juga akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan bentuk bantuan seterusnya,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian.

Sebahagian besar daripada penduduk perkampungan nelayan itu telah tinggal di kawasan berkenaan 10 tahun lalu dan mereka merupakan antara yang terselamat dalam kebakaran besar di Bukit Malut pada 2005.