JSwitch Slide Menu

 

This free script provided by JavaScript Kit

Operasi pelabuhan perikanan terbesar Januari

KUCHING 4 Dis. – Pelabuhan perikanan laut yang terbesar di negara ini di Tanjung Manis dekat Mukah dan menelan kos RM300 juta, akan mula beroperasi bulan depan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pelabuhan perikanan laut dalam yang pertama seumpamanya itu dijangka meningkatkan jumlah pendaratan ikan iaitu 1.4 juta tan metrik seperti yang disasarkan di bawah Dasar Pertanian Negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 500,000 tan metrik adalah hasil pendaratan ikan laut dalam manakala 900,000 tan metrik lagi perikanan pantai.

‘‘Kerajaan berharap projek besar khas untuk pengusaha perikanan laut dalam ini tidak akan menjadi projek gajah putih.

‘‘Kita mahu melihat pelabuhan yang dilengkapi kemudahan serba moden ini memberi manfaat kepada perikanan laut dalam dan operasinya mewujudkan situasi memang-menang kepada nelayan dan pihak yang mengendalikan pelabuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis dialog bersama pengusaha perikanan laut dalam Sarawak di sini, hari ini.

Dialog dihadiri lebih 100 pengusaha perikanan di Sarawak itu memberi peluang kepada golongan tersebut mengemukakan masalah dan pendapat berhubung operasi di pelabuhan Tanjung Manis.

Pembangunan pelabuhan perikanan laut Tanjung Manis bermula pada 2003 dan kini 96 peratus telah siap.

Pelabuhan tersebut berupaya menampung sehingga 200 kapal laut dalam pada satu-satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dermaga sepanjang 400 meter, bangunan bilik sejuk, kilang ais, pusat pemeriksaan kastam dan imigresen, bangunan operasi pemprosesan dan ruang pemunggahan.

Mengenai dakwaan kononnya pemilihan lokasi pelabuhan Tanjung Manis tidak strategik, Rohani berkata, perkara itu tidak benar kerana kajian mendalam telah dilakukan sebelum pelaksanaan projek tersebut.

Beliau berkata, keadaan geografi Tanjung Manis tidak jauh daripada laut serta berada di perairan Sungai Rejang yang mempunyai kedalaman air, sesuai untuk kapal perikanan laut dalam.

Katanya, selaras dengan pembangunan Pelabuhan Tanjung Manis, Jabatan Perikanan menyasarkan 325 unit kapal ikan laut dalam diperlukan bagi mencapai pendaratan ikan sebanyak 130,000 tan metrik pada 2010.

‘‘Daripada jumlah itu, 200 unit kapal perikanan itu berpangkalan di Tanjung Manis manakala 100 buah lagi berpangkalan di lain-lain daerah di seluruh Sarawak,” katanya.

Mengenai penggunaan krew nelayan asing dalam sektor perikanan negara, Rohani menjelaskan khidmat mereka masih diperlukan dan berdasarkan rekod, 2,075 nelayan asing berkhidmat dalam sektor tersebut.