JSwitch Slide Menu

 

This free script provided by JavaScript Kit

PNK Tanjung Bungah menunggu harapan

Oleh Faiza Zainudin  

Pembinaan 100 unit pangsapuri untuk mangsa tsunami menyebabkan nelayan terpaksa roboh rumah persatuan


TERKANDAS: Sampan nelayan  tersangkut dalam lumpur
bila air surut di Pantai Tanjung Bungah, Georgetown


GEORGETOWN: Lebih 100 nelayan terutama ahli Persatuan nelayan Kawasan (PNK) Unit Tanjung Bungah di sini, termasuk mereka yang menjadi mangsa tsunami pada akhir 2004, kecewa dengan janji manis kerajaan untuk menggantikan rumah persatuan tetapi gagal membinanya sehingga sekarang.


Selepas menunggu lebih dua tahun, harapan nelayan tetap tinggal harapan dan kesanggupan mereka mengorbankan rumah persatuan bagi memberi laluan kepada pembinaan rumah kepada mangsa tsunami, seolah-olah sia-sia.

Selepas pembinaan kira-kira 100 unit pangsapuri bagi mangsa tsunami yang kehilangan rumah di tapak rumah persatuan hampir siap, rumah persatuan yang baru yang dijanjikan belum nampak bayangnya lagi.

Yang Dipertua PNK itu, Ismail Din, berkata nelayan menagih janji daripada kerajaan untuk melihat rumah persatuan yang dirobohkan dulu dibina semula bagi membolehkan aktiviti nelayan berjalan lancar.

"Namun sehingga kini, projek itu tidak dilaksanakan tanpa sebarang sebab walaupun rumah pangsa dan jeti sepanjang 300 meter di belakang rumah berkenaan sudah siap," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selepas kejadian tsunami, nelayan setuju dengan cadangan kerajaan untuk mengambilalih tapak rumah persatuan untuk dibina rumah pangsa bagi mangsa tsunami terbabit.

Berikutan itu, rumah persatuan yang terletak di tepi pantai yang berusia hampir 40 tahun terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan 100 unit rumah pangsa itu.


TIADA MANFAAT: Jeti baru yang dibina terlalu pendek dan
tidak sesuai untuk dijadikan tempat pendaratan ikan di
Pantai Tanjung Bungah, Georgetown


Rumah persatuan itu dibina dengan kos RM17,000 dan masih kukuh ketika dirobohkan dan sebagai ganti kerajaan berjanji akan membina sebuah rumah persatuan dan jeti baru.

Ismail berkata, tanpa rumah persatuan, nelayan tiada tempat untuk menyimpan peralatan menangkap ikan.

Malah, katanya, jeti baru yang dibina di lokasi yang tidak sesuai dan pendek, juga menyebabkannya tidak dapat digunakan ketika air surut.

"Hampir separuh daripada ahli kami tidak dapat keluar menangkap ikan kerana sampan tersangkut dalam lumpur sedalam paras pinggang bila air surut.

"Bagi mereka yang cekal mencari rezeki, selut yang dalam itu diredah juga dengan menolak sampan yang berat.

"Keadaan itu menyukarkan dan mereka berhadapan dengan bahaya kerana dalam selut itu juga mempunyai duri dan binatang berbisa, selain risiko sampan rosak terkena batu tajam," katanya.

Beliau yang menjadi nelayan  sejak berusia 12 tahun, berkata pihaknya sudah mengemukakan pelan cadangan pembinaan rumah persatuan itu yang boleh dibina di pantai berhampiran.

Cadangan itu membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat termasuk jeti yang mempunyai kemudahan dewan, bilik mesyuarat, stor enjin, dingin beku dan pejabat pengurusan.

"Keseluruhan kos dianggarkan RM200,000 dan cadangan ini sudah dikemukakan kepada pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Daerah, baru-baru ini tetapi sehingga kini tiada jawapan," katanya.

Sementara itu, seorang nelayan  Chong Lai Chun, 48, berkata tragedi tsunami tidak mengubah nasib mereka malah menjadi lebih teruk.

"Bayangkan sebelum tsunami, kami mempunyai rumah persatuan sendiri yang turut sama menguruskan hasil tangkapan. Kini rumah itu dirobohkan, menyukarkan kami untuk bekerja," katanya.

Beliau berkata, jeti baru yang dibina tidak membantu menyelesaikan masalah nelayan, sebaliknya menjadi tempat orang berehat.

Nelayan itu mendakwa, dia terpaksa menolak sampannya sejauh 500 meter sambil mengharungi selut apabila air surut.

"Setiap kali hendak ke laut atau pulang dari laut, kami terpaksa tolak sampan kami hampir 500 meter kerana selut, Hendak tunggu air pasang, teruklah kami dan kena tunggu di tengah laut yang panas," katanya.

Mohd Maidin Tahir, 62, berkata masalah itu menyebabkan nelayan sukar mencari rezeki dan tidak mampu memperoleh pendapatannya yang sebelum ini boleh mencecah kira-kira RM500 sebulan.

"Sudahlah kena tolak bot ke laut, bila jual ikan, peraih mengambil kesempatan dengan membeli terlalu murah tetapi kami terpaksa jual kerana tiada tempat hendak dihantar," katanya.

"Bila rumah persatuan tiada, kami susah dan hidup berpecah belah. Contohnya, jual ikan kepada peraih sehingga mereka mengambil kesempatan daripada penat lelah kami.

"Bila peraih minta 60 kupang (60 sen) dan RM1 ikan kembung sekilogram, kami terpaksa jual sebab tidak ada tempat untuk simpan ikan," katanya.

Justeru, Mohd Maidin berharap kerajaan mengotakan janji untuk membina rumah persatuan demi kepentingan nasib nelayan.

"Jika kerajaan negeri tidak mampu berbuat apa-apa, kami tidak tahu hendak mengadu ke mana kerana Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini ialah Ketua Menteri sendiri (Tan Sri Dr Koh Tsu Koon)," katanya.

FAKTA NOMBOR:
Persatuan Nelayan Kawasan Unit Tanjung Bungah

·  85 - Ahli persatuan berdaftar

·  RM17,000 - Kos pembinaan rumah persatuan 40 tahun lalu

·  RM200,000 - Anggaran kos bagi membina rumah persatuan baru